Laporan Tahunan Para Ahli Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan Untuk Tahun Berakhir 31 Disember 2005

SIARAN AKHBAR
Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan 2005

KUALA LUMPUR, 28 April 2006 – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) hari ini mengeluarkan Laporan Tahunan bagi tahun 2005 (www.lofsa.gov.my). Laporan Tahunan ini mengandungi maklumat tentang kemajuan dan pembangunan Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC) serta prestasi kewangan LOFSA.

Tinjauan

Pada tahun 2005, Labuan IOFC sekali lagi mencatat prestasi cemerlang, dengan peningkatan dalam semua sektor. Labuan berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi pusat kewangan luar pesisir antarabangsa unggul yang menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan luar pesisir yang inovatif serta berkualiti tinggi. Teras dasar sentiasa dijuruskan ke arah memperkukuh keupayaan dan kepelbagaian aktiviti perniagaan Labuan untuk meninggikan kedudukan dan daya saingnya di peringkat global. Satu lagi keutamaan yang diberi perhatian ialah  mengekalkan reputasi Labuan sebagai pusat luar pesisir yang berwibawa bagi institusi kewangan yang berkualiti dan tulen. Kesemua langkah yang diambil oleh LOFSA bertujuan untuk mengekalkan persekitaran yang berorientasikan pasaran dan mesra pelabur di bawah rangka kerja perundangan yang pragmatik dan struktur cukai yang kompetitif. 

 

Aktiviti-aktiviti Perniagaan Labuan IOFC
Pada tahun 2005, jumlah syarikat luar pesisir yang berdaftar di Labuan IOFC bertambah sebanyak 532 dan ini menambah bilangan syarikat luar pesisir berdaftar kepada 5,152 pada akhir bulan Disember 2005. Daripada jumlah ini, 3,067 syarikat sedang beroperasi. Kemasukan syarikat-syarikat luar pesisir dari hampir 80 buah negara, mencerminkan kepentingan Labuan IOFC di peringkat antarabangsa. 

 

Aktiviti insurans luar pesisir terus merupakan aktiviti perniagaan yang penting di Labuan IOFC. 12 lesen baru telah diluluskan pada tahun 2005, menjadikan bilangan pelesen kepada 112.  Sektor insurans kaptif yang merupakan bidang tumpuan LOFSA juga menunjukkan kemajuan, dengan kelulusan lapan kaptif baru pada tahun 2005.  Ini menjadikan jumlah kaptif kepada 29. Pemegangan saham asing bertambah daripada USD105.9 juta pada tahun 2004 kepada USD134.4 juta pada tahun 2005, sejajar dengan objektif LOFSA untuk menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing sebagai strategi untuk meningkatkan kapasiti industri insurans di Labuan.

 

Industri perbankan luar pesisir di Labuan IOFC kekal memberangsangkan dengan 59 bank luar pesisir beroperasi pada tahun 2005. Daripada jumlah ini, sepuluh buah merupakan bank pelaburan. Industri ini menjana keuntungan sebelum cukai sebanyak USD241.5 juta pada tahun itu. Terdapat juga peningkatan dalam pemberian pinjaman kepada dan penerimaan deposit daripada bukan pemastautin, sejajar dengan usaha LOFSA untuk menarik lebih banyak perniagaan ‘out-out’ di Labuan IOFC. Aktiviti perniagaan luar pesisir lain turut berkembang. Pada tahun 2005, sembilan syarikat pajakan baru luar pesisir telah ditubuhkan dan ini meningkatkan jumlah syarikat pajakan luar pesisir kepada 69.  Kebanyakan urus niaga syarikat pajakan tersebut ialah pajakan pesawat, kapal dan peralatan berkaitan dengan minyak dan gas.  Berhubung dengan pengurusan dana luar pesisir, tiga dana swasta baru telah didaftarkan pada tahun 2005, manakala satu dana telah dibatalkan akibat ketidakpatuhan. Oleh itu, jumlah dana swasta yang berdaftar adalah sebanyak 18. Daripada jumlah ini, dua daripadanya mematuhi prinsip Syariah. Industri pengurusan dana dikendalikan oleh 18 pengurus dana.

Pada tahun 2005, sebelas syarikat luar pesisir diperbadankan di Labuan bagi tujuan mendapatkan hutang luar negara. Daripada jumlah ini, lapan telah disenaraikan di Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (LFX) dengan permodalan pasaran kumulatif sebanyak USD2.4 bilion. Ini membawa jumlah penyenaraian di LFX kepada 31 dengan agregat permodalan pasaran sebanyak USD12.5 bilion. Penyenaraian pada tahun 2005 meliputi instrumen hutang dan instrumen berkaitan ekuiti, sijil hutang Islam (Sukuk) dan penyenaraian saham keutamaan pertama. Kerajaan Malaysia dan perbadanan dalam negeri termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan merupakan kumpulan penerbit terbesar. 

Usaha terus dijuruskan ke arah membangunkan perbankan Islam di Labuan IOFC seiring dengan langkah strategik untuk menggalakkan kewangan Islam di Labuan IOFC  untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. Pada tahun 2005, terdapat tiga bank luar pesisir yang menyediakan perkhidmatan lengkap dan tiga bank pelaburan Islam beroperasi di Labuan. Pada akhir tahun 2005, jumlah aset perbankan Islam, termasuk aset bank luar pesisir konvensional yang menawarkan jendela kewangan Islam, adalah sebanyak USD708.9 juta (2004:USD678.7 juta). Jumlah ini mencakupi 3.9% daripada jumlah aset industri perbankan luar pesisir (2004:3.4%).

Pada tahun 2005, terdapat dua puluh syarikat amanah beroperasi di Labuan untuk menawarkan perkhidmatan pendaftaran, kesetiausahaan dan khidmat lain kepada syarikat luar pesisir. 

Prestasi Kewangan 
LOFSA mencatat pendapatan berjumlah RM18.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2005 (2004:RM17.7 juta). Lebihan yang diperoleh berjumlah RM3.3 juta (2004: RM3.8 juta).

Pencapaian Penting Labuan IOFC semenjak tahun 1996
LOFSA menyambut ulang tahun kesepuluhnya pada tahun 2006. Inisiatif dan langkah yang dilaksanakan setakat ini telah berjaya meletakkan Labuan IOFC sebagai pusat kewangan luar pesisir yang utama di rantau Asia-Pasifik. Pertumbuhan syarikat luar pesisir kekal stabil semenjak tahun 1996 dengan kemasukan berterusan sebanyak kira-kira 500-600 buah syarikat dan diperbadankan setiap tahun. Labuan IOFC sentiasa memastikan kualiti syarikat yang diterima masuk ke dalam Labuan IOFC, terus dikekalkan.  Langkah ini telah menjadikan Labuan sebagai sebuah IOFC yang bereputasi dan berwibawa, dengan institusi-institusi kewangan terbaik beroperasi di situ. 

Sebagai sebuah IOFC yang bersepadu, Labuan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang meluas, iaitu perbankan perdagangan luar pesisir, perbankan pelaburan, insurans dan perkhidmatan berkaitan insurans, pemegangan pelaburan, amanah, pengurusan dana, pemajakan dan pemfaktoran. Labuan IOFC juga semakin dikenali sebagai pusat kewangan Islam serantau yang penting. 

Melangkah ke Hadapan
Untuk menarik kemasukan lebih banyak institusi ke Labuan IOFC, LOFSA akan terus mengutamakan pembangunan yang mendalam bagi portfolio, segmen perniagaan dan pasaran tertentu.  Insentif bersasaran tinggi akan diperkenalkan di sektor-sektor yang berpotensi tinggi untuk memajukan Labuan IOFC, manakala halangan-halangan yang menyekat pembangunan akan dihapuskan.

Bagi lima tahun yang akan datang sehingga tahun 2010, matlamat LOFSA adalah untuk membangunkan Labuan IOFC sebagai pusat kewangan luar pesisir ‘out-out’. Fokus akan diberi untuk menambah peratusan pemegangan syarikat luar pesisir milik bukan pemastautin dan perniagaan bukan pemastautin daripada 50% kini kepada 70%.  Bilangan syarikat luar pesisir yang beroperasi di Labuan dijangka  bertambah sekurang-kurangnya 10% setahun.

Matlamat umum kami adalah untuk menjadi pusat kewangan serantau akan disokong oleh beberapa sasaran asas.  Menjelang tahun 2010, jumlah pinjaman dan deposit dalam sektor perbankan luar pesisir dijangka meningkat sebanyak 15%. Premium kasar bagi insurans luar pesisir dan aset yang dipajak dijangka meningkat pada kadar yang sama.

Aktiviti pasaran modal akan terus digalakkan. Penekanan akan diberi kepada pertumbuhan dalam khidmat nasihat korporat bagi penggabungan dan pengambilalihan merentas sempadan serta urus niaga pelaburan pasif dan keperluan pembiayaan sampingannya. Untuk menambah saiz agregat aset di bawah pengurusan yang bermastautin di Labuan IOFC, pelbagai bentuk pengurusan dana dan ekuiti swasta akan digalakkan bersama-sama dengan pengenalan kelas-kelas aset inovatif daripada pelbagai pasaran serantau.

Usaha menggalakkan kewangan Islam kekal sebagai agenda teras kami untuk menyokong usaha menyeluruh bagi membangunkan sistem kewangan Islam yang komprehensif di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa. Bahagian aset Islam luar pesisir daripada jumlah aset pasaran disasarkan meningkat kepada 10%. 

Labuan IOFC akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan sektor kewangan luar pesisir Malaysia. LOFSA, sebagai lembaga yang diberikan mandat membangunkan dan mentadbir Labuan IOFC, akan terus komited dalam menyediakan persekitaran operasi dan kawal selia yang kondusif untuk menjadikan Labuan sebagai pusat luar pesisir yang berjaya.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
_____________________________________________________________________________

Komunikasi Korporat & Perkhidmatan Pelanggan 
Telefon                        087-591200
Faks                           087-411496

E-mel              :             communication@lofsa.gov.my

| Top | Back |

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Copyright © 1996-2006 LOFSA. Send email to only with questions or comments about this web site.

|| disclaimer || terms and conditions ||