Laporan Tahunan Para Ahli Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan Untuk Tahun Berakhir 31 Disember 2006

SIARAN AKHBAR
Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan 2006

KUALA LUMPUR, 30 April 2007 – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) hari ini mengeluarkan Laporan Tahunannya bagi tahun 2006 (www.lofsa.gov.my), yang membentangkan kemajuan dan pembangunan Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan (IOFC) dan prestasi kewangan LOFSA.

Pada tahun 2006, Labuan IOFC sekali lagi mencatatkan prestasi cemerlang dan terus  menawarkan produk dan perkhidmatan yang inovatif dan berkualiti tinggi kepada komuniti perniagaan dan pelaburan antarabangsa termasuk kewangan Islam, dalam persekitaran yang berorientasikan pasaran dan mesra pelabur. Tahun 2006 merupakan pencapaian penting LOFSA yang menyambut ulang tahunnya yang kesepuluh.

Aktiviti Perniagaan Labuan IOFC
Kini terdapat lebih daripada 300 institusi kewangan di Labuan IOFC yang menyediakan rangkaian perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam yang komprehensif termasuk perbankan luar pesisir, perbankan pelaburan, aktiviti insurans dan berkaitan insurans, pemegangan pelaburan, amanah, pengurusan dana dan pemajakan. Institusi ini menawarkan perkhidmatan kepada lebih daripada 5,500 syarikat luar pesisir yang berdaftar di Labuan IOFC.  Keupayaannya untuk menarik masuk institusi kewangan antarabangsa yang terkemuka dan bereputasi tinggi merupakan salah satu faktor kejayaan LOFSA yang penting dalam hala tuju pembangunan Labuan IOFC. Di samping itu, Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (LFX) turut membantu meningkatkan aktiviti penjanaan modal di IOFC dengan menyenaraikan dan mendagangkan instrumen kewangan oleh penerbit antarabangsa, terutama dari rantau Asia Pasifik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Labuan IOFC telah berkembang sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang aktif di peringkat serantau dan dunia, disokong oleh infrastruktur yang menjadi asas bagi mempromosikan perkhidmatan kewangan Islam. Antara infrastruktur ini ialah Majlis Penasihat Shariah yang menasihati LOFSA tentang isu berhubung dengan instrumen kewangan yang berlandaskan prinsip Shariah di Labuan IOFC. Kewujudan Majlis ini telah membawa kepada pengenalan instrumen kewangan Islam yang inovatif secara lebih cekap dan berkesan. 

Bagi tujuan ini, Labuan IOFC telah memainkan peranan penting dalam pembangunan produk Islam apabila sukuk global pertama diterbitkan oleh sebuah syarikat Malaysia dan sukuk kerajaan oleh Kerajaan Malaysia. Kedua-dua terbitan itu telah disenaraikan di LFX. Pada bulan Oktober 2006, Labuan IOFC telah menempa satu lagi pencapaian penting dengan penyenaraian utama terbitan sukuk boleh tukar dan berkaitan ekuiti pertama di dunia melalui LFX. Sukuk bernilai AS$750.0 juta itu meningkatkan permodalan pasaran modal Islam kepada AS$2.8 bilion, yang mencakupi 18.5% daripada jumlah permodalan pasaran sebanyak AS$15.1 bilion.

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC), suatu usaha bersepadu oleh pengawal selia kewangan dan pasaran negara, yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, LOFSA dan Bursa Malaysia, dilancarkan pada bulan Ogos 2006. Pelancaran MIFC akan membawa pembangunan di Labuan IOFC dan institusi kewangan luar pesisir akan berada pada tahap kedinamikan yang lebih tinggi. 

Inisiatif ini bertujuan menempatkan Malaysia sebagai pusat utama yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam dalam mata wang antarabangsa kepada komuniti kewangan global dan domestik. MIFC berusaha menarik masuk pelabur-pelabur global dan mengukuhkan integrasi dengan sistem kewangan antarabangsa. Melalui inisiatif ini, bank luar pesisir Islam,  bahagian Islam bank luar pesisir, pengendali takaful luar pesisir dan pengendali takaful semula luar pesisir di Labuan IOFC boleh meluaskan operasi fizikal mereka di luar pulau Labuan dan menjalankan perniagaan dalam mata wang asing sambil menikmati semua faedah IOFC.

Liberalisasi peraturan pentadbiran kawalan pertukaran oleh negara baru-baru ini juga akan memanfaatkan institusi kewangan di Labuan IOFC. Peningkatan pelaburan dalam aset ringgit oleh pelabur-pelabur bukan pemastautin seharusnya memberikan lebih peluang kepada institusi luar pesisir untuk mempertingkatkan produk mereka. Institusi luar pesisir juga dijangka memanfaatkan peluang yang wujud ekoran peningkatan hubungan perdagangan dengan ekonomi serantau dan bahagian lain di dunia, dengan adanya rejim kawalan pertukaran yang lebih fleksibel.

Prestasi Kewangan LOFSA
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2006, jumlah hasil LOFSA meningkat kepada RM19.8 juta (2005: RM17.6 juta), dengan lebihan sebanyak RM2.0 juta (2005: RM3.3 juta).  Dengan itu, rizab kumulatif LOFSA meningkat kepada RM24.9 juta pada 31 Disember 2006.

Memandang ke Hadapan
Para pelabur kini semakin memilih dan ini menyebabkan persaingan bertambah sengit dalam kalangan pusat-pusat kewangan luar pesisir. Labuan IOFC sedang berusaha menempatkan semula kedudukannya dengan mengenal pasti bidang-bidang perniagaan khusus (niche businesses), mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang bukan tradisional  dan memanfaatkan segala kelebihannya.

Dengan wujudnya rangka kerja undang-undang, cukai dan pengawalseliaan yang kondusif serta kedudukannya yang berhampiran dengan rantau Asia, Labuan IOFC berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang daripada kenaikan momentum dalam pelaburan langsung asing serta pelaburan keluar oleh negara-negara yang tumbuh dengan pesat di rantau ini. Syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di luar negeri turut membuka peluang yang luas kepada institusi kewangan Labuan. Di samping itu, Labuan IOFC juga boleh memanfaatkan  perjanjian cukai yang ditandatangani dengan 63 negara dan undang-undang cukainya untuk menarik institusi luar pesisir baru dan aktiviti perniagaan, terutamanya perniagaan out-out dan perniagaan bukan pemastautin.

Bagi menarik masuk perniagaan baru ke Labuan IOFC, LOFSA akan menggunakan pelbagai saluran untuk meningkatkan kesedaran terhadap kewujudan Labuan IOFC dan kelebihan-kelebihannya. Labuan IOFC mempunyai rangka kerja yang bukan sahaja lebih teguh malah memudahkan, infrastruktur yang kukuh dan sistem penyampaian yang cekap dan berkesan. LOFSA telah memperkenalkan rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko yang diubah suai bagi menilai dan memantau kekukuhan dan kemantapan kewangan institusi berlesen secara berterusan. Langkah ini bertujuan memastikan sistem kewangan luar pesisir berdaya tahan dan kekal stabil.

Undang-undang yang berkaitan dengan Labuan IOFC yang dikaji semula secara menyeluruh dan peningkatan rangkaian produk dan perkhidmatan kini sedang dilaksanakan. Struktur syarikat baru akan diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna-pengguna industri dalam persekitaran luar pesisir.

Perniagaan baru ini dijangka dapat menjadi pemangkin untuk mendorong permintaan terhadap perkhidmatan profesional termasuk penyedia perkhidmatan kewangan, guaman, perakaunan, cukai dan perkhidmatan bantuan lain. Semua ini akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan keseluruhan bagi perkhidmatan kewangan luar pesisir di Labuan IOFC. 

_______________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Komunikasi Korporat & Perkhidmatan Pelanggan
Tel:       087 591200
Fax:      087 428200
Email:  communication@lofsa.gov.my 

 

| Top | Back |

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Copyright © 1996-2007 LOFSA. Send email to only with questions or comments about this web site.

|| disclaimer || terms and conditions ||