Labuan Offshore Financial Services Authority (LOFSA) Annual Report of the Members of the Authority for the Year Ended 31 December 2007

PRESS RELEASE

Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan 2007

KUALA LUMPUR, 25 April 2008 – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) hari ini mengeluarkan Laporan Tahunannya bagi tahun 2007. Laporan Tahunan ini  mengemukakan  pembangunan dan kemajuan Labuan sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (International Business and Financial Centre, IBFC) dan prestasi kewangan LOFSA.

Pada tahun 2007, Labuan IOFC mencatat pencapaian yang strategik melalui  penjenamaan dan penyusunan semula Labuan sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa. Identiti baharu Labuan IBFC menandakan  fokus yang lebih besar  serta kemajuan yang berterusan dalam membangunkan sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa yang memberangsangkan dan progresif. Labuan IBFC telah  pun membuktikan kecekapannya membina kekuatan baharu dengan memanfaatkan  kelebihan berbandingnya  bagi memenuhi permintaan  baharu  dan  lebih  canggih  di rantau ini. 

 

Aktiviti Perniagaan Labuan IBFC

Labuan IBFC sebagai pusat kewangan antarabangsa di rantau Asia Pasifik terus mencatat pertumbuhan dua angka dalam bilangan syarikat luar pesisir baharu yang kini menjadikan jumlah kesemua syarikat sebanyak 6,297 pada tahun 2007. Ketersediaan kemahiran dan perkhidmatan berkualiti serta penawaran pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan telah meningkatkan daya tarikan Labuan IBFC bagi para pelabur. 

 Industri perbankan luar pesisir mencatat pengembangan dalam aset pinjaman dengan peningkatan dalam kualiti aset.  Pada tahun 2007, jumlah aset  bank luar pesisir meningkat  27.8% kepada USD27.0 bilion pada tahun 2007 daripada USD21.1 bilion pada tahun 2006.  Penunjuk pinjaman tak berbayar kasar juga bertambah baik kepada 2.0% pada tahun 2007 daripada 2.8% pada tahun 2006.  Perniagaan pemajakan luar pesisir terus merupakan salah satu aktiviti kewangan luar pesisir yang utama untuk menjadi salah sebuah industri kewangan  paling pesat berkembang di Labuan IBFC pada tahun itu. Jumlah pembiayaan pemajakan baharu meningkat 18.7% lantas menjana  pembiayaan kumulatif sebanyak USD14.1 bilion.  Penggalak utama aktiviti ini ialah aktiviti minyak dan gas yang kukuh dan juga aktiviti perkapalan di rantau ini.

 Industri insurans luar pesisir, khususnya perniagaan insurans semula, terus berkembang sebanyak 40.3% kepada USD919.2 juta pada tahun 2007, dengan  62.0% daripadanya terdiri daripada premium bukan warga Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan kedudukannya yang  kian penting  sebagai pusat insurans semula. Selain itu,  amaun caruman takaful semula yang bertambah 42.8% kepada USD108.4 juta berbanding dengan tahun 2006 turut mencerminkan kepentingan industri ini.

 Aset berasaskan Islam di Labuan IBFC terus berkembang pada tahun 2007 dan berjumlah USD1.2 bilion atau peningkatan 36.9% berbanding tahun 2006.  Ini disebabkan oleh minat kukuh pelabur dari Timur Tengah yang berhasrat  melabur  di rantau Asia. Kedudukan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) telah memperkukuh usaha Labuan untuk menggalakkan amanah dan yayasan berlandaskan Syariah memandangkan  produk-produk ini melengkapkan  produk dan perkhidmatan kewangan  Islam yang  sedia ada di pasaran tempatan. 

 Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan International Financial Exchange, LFX) mencatat empat penyenaraian baharu pada tahun 2007, selaras dengan peningkatan terbitan hutang daripada Labuan IBFC.  Ini menjadikan jumlah penyenaraian sebanyak  31 dengan permodalan pasaran sebanyak USD15.1 bilion. Salah satu penyenaraian utama ialah terbitan Sukuk bernilai USD1.0 bilion oleh Dar Al-Arkan International Sukuk Company yang berpangkalan di Arab Saudi.

 

 Inisiatif Strategik pada Tahun 2007

Bagi menyediakan  perkhidmatan yang lebih cekap  kepada institusi kewangan luar pesisir dan pelabur di rantau ini, Labuan IBFC telah melaksanakan atau dalam proses melaksanakan sembilan inisiatif utama.

(i)      Rangka kerja cukai yang lebih fleksibel

Syarikat Luar Pesisir Labuan (LOC) diberi pilihan untuk menggunakan sama ada Akta Cukai Pendapatan 1967 atau Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990. Ini memberikan fleksibiliti kepada LOC untuk menstrukturkan urus niaga perniagaan mereka dengan efisien lantas mewujudkan persekitaran cukai yang lebih menggalakkan  buat para pelabur di Labuan IBFC.

(ii)     Rangka kerja undang-undang yang lebih kondusif  

Perundangan sedang ditambah baik bagi mewujudkan persekitaran pengawalseliaan  yang lebih fleksibel dan memudahkan supaya  Labuan IBFC  terus berdaya saing dalam landskap pasaran global yang pesat berkembang di samping membolehkan aktiviti dan peluang baharu diambil di situ.  

(iii)    Struktur penentuan  harga yang lebih kompetitif  

Bayaran penubuhan dan penyenggaraan semasa bagi syarikat luar pesisir akan dikaji semula agar lebih kompetitif dengan struktur penentuan  harga pusat kewangan luar pesisir  lain.

(iv)    Fokus pemasaran baharu untuk Labuan IBFC

Labuan IBFC telah melaksanakan usaha promosi yang lebih tertumpu bagi memastikan pelabur sasaran dapat dijangkau dengan efektif.

(v)     Kebitaraan (niche) dalam perniagaan syarikat induk

Labuan IBFC sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya untuk muncul sebagai satu kawasan syarikat induk pelaburan pilihan di rantau Asia.

(vi)    Komitmen yang lebih tinggi bagi memudahkan perniagaan insurans kaptif

Labuan IBFC terus berusaha menarik lebih banyak institusi perniagaan insurans kaptif untuk memulakan perniagaan mereka di Labuan IBFC susulan pertumbuhan  industri insurans kaptif di Labuan.

(vii)   Penambahbaikan proses utama bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam operasi LOFSA keseluruhannya

Kecekapan dan tindak balas LOFSA terhadap proses utama pasaran akan direkayasa (reengineer) dan penambahbaikan teknologi sedang dilaksanakan. Dalam hal ini, LOFSA telah melaksanakan platform pembayaran tunggal secara elektronik yang menggunakan struktur pengurusan wang tunai bersepadu  yang dihubungkan dengan syarikat amanah di Labuan, sekali gus menyediakan pendekatan ’pusat dan jalinan’. Ini membolehkan proses pendaftaran yang lebih cekap. LOFSA telah dianugerahi ‘Idea Terbaik’ untuk pelaksanaan platform ini.

(viii) Peluang mempromosikan amanah dan yayasan berlandaskan Syariah

Labuan IBFC akan memanfaatkan strategi kebangsaan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dalam mempromosikan amanah dan yayasan berlandaskan Syariah.  Produk khusus ini yang hanya disediakan oleh Labuan IBFC akan melengkapkan inisiatif agensi kerajaan lain dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia.

(ix)    Komitmen  dalam meningkatkan perkhidmatan pelanggan

LOFSA akan terus memperkukuh piagam pelanggannya dengan menjadikan pihak berkuasa lain sebagai penanda aras. Usaha ini adalah sebahagian daripada penekanan secara berterusan untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggannya. Piagam yang bertujuan menyemai budaya perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan ini dan menambah baik sistem penyampaian LOFSA untuk meningkatkan daya saing Labuan IBFC secara keseluruhan.

Usaha Pengawalseliaan Berterusan

Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan terus diperkukuh melalui Rangka Kerja Pengurusan Risiko dan Rangka Kerja Penyeliaan Berasaskan Risiko yang lebih kukuh. Namun begitu, garis panduan dan prinsip berhemat umum yang diterima pakai akan terus  memberikan kefleksibelan kepada institusi kewangan merumuskan strategi dan kebitaraan (niche) pasaran mereka sendiri.

Masa Hadapan

Melangkah ke hadapan, LOFSA telah mengenal pasti beberapa program strategik penting bagi memajukan Labuan sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa. Salah satu daripada inisiatif ini ialah menaikkan status Labuan IBFC kepada ’standard emas kawasan syarikat induk’.  Rangkaian perjanjian cukai Malaysia yang meluas dengan lebih daripada 60 buah negara dan pengenalan rangka kerja cukai yang lebih fleksibel menyokong inisiatif ini.

Semua aspek rangka kerja undang-undang semasa yang meliputi perniagaan konvensional dan Islam kini sedang diperkemas untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang fleksibel dan memudahkan. Perundangan dan peraturan semakan ini meliputi perasionalan dan pengukuhan peruntukan bagi meningkatkan lagi pembangunan aktiviti perniagaan dan kewangan di Labuan. 

Pembangunan jangka panjang Labuan IBFC bertujuan mewujudkan pusat kewangan yang kukuh dan mantap yang dikawal selia dengan cekap, teguh dan aktif.      

Prestasi Kewangan LOFSA

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2007, LOFSA mencatat jumlah hasil sebanyak RM22.4 juta (2006: RM20.1 juta) dengan lebihan sebanyak RM2.2 juta (2006: RM2.0 juta). Rizab meningkat kepada RM27.0 juta pada tahun 2007 daripada RM24.7 juta pada tahun 2006.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Komunikasi Korporat & Perkhidmatan Pelanggan
Tel:       087 591200
Fax:      087 428200
Email:  communication@lofsa.gov.my 

______________________________________________________________________________

Dapatkan Laporan Tahunan LOFSA 2007 di sini

| Top | Back |

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Copyright © 1996-2007 LOFSA. Send email to only with questions or comments about this web site.

|| disclaimer || terms and conditions ||